Tuesday, May 18, 2010

Cersapen 6: Kampung Zubassar

Kuda hitam berhentak-hentak ke tanah. Matahari mula meninggi dan terik panasnya kian terasa. Aku terjaga dari tidur. Cuba dengan kuat untuk membuka kedua belah mataku. Berkerut-kerut keningku cuba untuk membuka kelopak mata tapi ianya tidak berhasil. Aku cuba menggosok dengan tangan ianya jadi makin pedih. Aku pasrah. Sewaktu terjaga aku sedar bahawa tanganku diikat dan aku meletakkan kepalaku di belakang lelaki ini. Lelaki yang baru sahaja aku kenal tadi. Lelaki yang aku tidak pernah lagi melihat mukanya.

“Kamu sudah terjaga saudaraku”, lelaki itu sedar aku mula mengangkat kepalaku dari badannya.

“Mengapa kau ikat tanganku?”

“Aku takut kamu terjatuh sewaktu tidur”, jelas lelaki itu. Tanganku yang terikat menegelilingi badannya itu diikat ketat supaya aku tidak terjatuh dari kuda itu.

“Bersabarlah, kita sudah memasuki jalan masuk ke kampung Zubassar. Tapi aku mahu menghantar kamu ke pekan dahulu berjumpa doktor”.

Kudanya semakin lama semakin perlahan. Derap hentakan kaki yang kuat semakin lama menjadi langkah berjalan. Aku mendengar semakin ramai suara orang yang riuh-rendah seperti di pasar. Suara yang menawarkan barang jualan, suara yang ingin membeli, suara yang meminta wang. Sesekali aku mendegar bunyi kambing dan beberapa ekor ayam. Ada juga bunyi dengusan keyran dan kuda berselang-seli. Aku fikir kiranya aku kini melalui sebuah pasar. Malang aku tidak dapat melihat bagaimanakah rupanya keadaan pasar di sini.

“Apakah kita sudah sampai di Kampung Zubassar?”, aku bertanya pada lelaki itu.

“Belum, aku mahu bawa kamu berjumpa doktor. Mudahan sakit matamu itu sembuh”

Semakin lama riuh suasana pasar tadi hilang. Aku semakin menjauh dari pasar.

“Kita sudah sampai”

Lelaki itu membuka ikatan di tanganku. Dia lalu turun dan mendukungku turun. Aku seolah tidak dapat berbuat apa-apa. Terdengar bunyi kuda ditarik dan diikat ke suatu tempat. Kuda itu mendegus kuat.

“SIla ikut aku”, tanganku dipimpin lelaki tadi. Sehingga di suatu tempat, aku disuruh duduk. Terdengar perbualan dan percakapan orang yang tidak aku fahami. Mungkin ini tempat asing. Orang menggunakan bahasa asing. Aku juga tidak tahu apakah di Kampung Zubassar juga menggunakan bahasa asing seperti ini.

Kampung Zubassar yang sangat ingin aku lewati bukanlah kampung seperti kampung-kampung yang lain. Aku mendengar ceritanya dari 2 orang yang aku kenali. Secara kebetulan mereka berdua ini menceritakan hal yang sama namun aku hanya menyimpan perkara ini di dalam hati. Pertamanya khalis shaifuli yang memberitahuku perihal kampung ini. Aku hanya terdiam, mendengar sahaja ceritanya seperti dia menceritakan kepadaku cerita-cerita yang lain. Yang paling jelas kedengaran sampai terngiang-ngiang di telingaku hanya satu ayat daripadanya, “Jika kamu mencari sesuatu yang hilang dari Betlehem, carilah di kampung Zubassar”.

Aku terkejut ayat yang sama diulang oleh 2 orang yang berbeza, yang tidak pernah kenal antara satu sama lain. Suatu ketika Hussein juga mengucapkan ayat yang sama, “Jika kamu mencari sesuatu yang hilang dari Betlehem, carilah di kampung Zubassar”. Mendegar ayat ini membuatkan 1001 persoalan muncul di dalam fikiranku. Apakah yang selama ini hilang di Betlehem? Apakah ada kaitan antara Hussein dan Khalis Shaifuli. Seorang pengembala keyran dan seorang engineer yang pakar bermain dengan angin yang datang dari status yang berbeza. Mengapakah di antara banyak kampung, kampung Zubassar yang menjadi bualan?. Semuanya menjadikan aku rasa hairan. Apakah Kampung ini mempunyai langit atau bumi yang berbeza dari Betlehem?. Ketika aku mendegar ayat yang sama keluar dari mulut Hussein. Ketika aku kecewa melihat negeriku hancur dan pupus dan saudara senegeriku pupus mencari perlindugan di tempat lain, ketika aku ingin mencari apakah rahsia disebalik kenyataan yang terjadi pada aku. Aku hanya merasakan aku akan menemuinya di kampung itu. Niat itu aku simpan di penegtahuan Hussein. Khalis Shaifuli yang aku rasakan sudah mati itu juga selamanya tidak akan tahu niatku ini. Bukan Kampung Zubassar itu yang aku cari. Tetapi rahsia apakah yang ada di sana yang membuatku rasa ingin ke sana.

***

“Kamu menghidap radang kelopak mata”, jelas doktor itu kepada ku. Aku tidak terkejut dan sudah mengagak dengan jawapan itu.

“Nanti saya akan berikan kamu ubatnya. Selepas kamu menyapu ubat ini mudahan kamu dapat membuka mata kamu semula. Tetapi sakitnya mengambil masa yang lama untuk sembuh. Untuk itu kamu perlu banyak rehat”.

“Terima kasih doktor. Bagaimana dengan bayarannya. Minta maaf doktor. Saya ini tidak ada banyak wang”.

“Owh, tidak mengapa, sudah ada yang membayarnya. Dia sudah menunggu kamu di luar”. Doktor itu memimpin aku ke luar. Setelah itu aku merasakan tanganku dipegang oleh seseorang. Tentu adalah lelaki yang menolongku tadi.

“Kamu berehatlah di rumahku dahulu, nanti aku akan membantumu menyapukan ubat itu”.

Tangan aku ditarik dan dengan perlahan aku berjalan seperti si buta. Pertemuan yang tidak berapa lama tadi membuatkan aku terus mempercayai lelaki ini. Siapakah gerangannya? bagaimanakah wajahnya? apakah aku mengenalinya? atau apakah dia mengenaliku?. Aku akui tidak mampu berjalan seorang diri di waktu keadaanku begini dan di tempat yang asing bagi ku ini. Mudahan dia adalah orang yang benar untuk membantu ketika aku benar mengharapkan pertolongan.

Sesudah sampai di kudanya, dia kembali mengikat tanganku. Kedengaran beberapa tapak kaki menghampiri kami berdua.

“Wahh, kuda kamu nampak cantik dan tegap. Apakah kamu sudi memberi hadiah kepadaku kerana memberi kamu melepasi kawasan ini?, kedengaran seorang daripada mereka berkata sambil menepuk-nepuk belakang si lelaki ini.

“Seperti sesuatu yang buruk akan berlaku, kamu jalan terus sampai ke dinding itu dan duduk diam di situ”, si lelaki itu berbisik kepadaku. Aku mengikuti segala arahannya. Aku berjalan ketakutan sampai kakiku terasa menyepak sesuatu yang keras seperti dinding, lalu aku duduk diam di situ.

“Kamu mahu apa?”, aku mendengar perbualan lelaki itu dengan kumpulan yang tidak dikenali itu. Mereka seperti ingin merompak kuda si lelaki itu.

“Aku mahukan kuda ini, atau kamu berdua mati dibunuh di sini”.

“Jika kamu mahu mengambil kuda ini, aku tidak rela memberinya kerana aku memerlukannya, dan jika kamu mahu membunuh kami nescaya kamu pasti tidak mampu”, si lelaki itu tenang menjawab soalan si perompak itu.

Si perompak ketawa sinis. Lalu bunyi geseran pedang keluar dari sarung berbunyi.

“Aku tidak mahu memulakan apa-apa pergaduhan di sini. Aku yakin kamu tidak mampu menghadapi aku. Jika kamu berdegil, akan aku berikan syarat untuk berlawan denganku”.

“Apa sahaja, asalkan aku senang melihat orang yang sombong seperti kamu mati berdarah di hadapanku, bersama kawan kamu yang buta itu”, aku hanya menelan air liur ketakutan ketika mendegar ancaman seperti itu.

“Bertarunglah dan bunuhlah aku dengan pedang ku ini”, si lelaki itu memberikan pedangnya kepada penjahat itu.

“Urghh,urghhh. Arghhhh. Mengapakah pedang ini sangat berat? Kamu semua tolonglah aku mengangkat pedang ini.”

Kedengaran suara beberapa orang yang cuba mengangkat pedang itu. Agak lama suara kegaduhan itu kedengaran akhirnya menjadi perlahan. Mungkin mereka semua sudah kepenatan.

“Sudahlah, ingin mengangkat pedang kamu semua tidak mampu, inikan pula mahu membunuh ku”.

“Kamu bernasib baik hari ini, huh. Mari kita semua pergi”, sekumpulan penjahat itu berlalu dari situ dengan penuh rasa malu. Kawasan sekitar sesudah itu menjadi senyap. Betapa ruginya aku tidak dapat melihat kejadian seperti itu. Aku hanya membayangkan seberapa kuatkah lelaki yang menolongku ini. Apakah pedangnya itu sangat berat sehingga benar-benar tidak dapat diangkat oleh beberapa orang lelaki.

Sekali lagi tanganku ditarik, lelaki itu hanya mendiamkan diri dan mengikat tanganku kembali. Tidak bicara apa-apa. Aku juga keberatan untuk bertanyakan sesuatu kepadanya. Aku dinaikkan lelaki itu ke atas kudanya. Lalu kami bergerak semula dan keluar dari pekan itu. Kaku aku di belakangnya, apabila aku resah memikirkan tentang Kampung Zubassar, timbul persoalan lain pula di dalam fikiranku. Siapakah lelaki ini? Mudahan mataku akan cepat sembuh. Mudahan mataku akan cepat sembuh. Mudahan aku selamat. Di atasku kuda yang berlari dengan kencang itu, aku hanya mendegar angin menderu laju ditelingaku. Mataku kupejam kuat takut-takut debu akan masuk dan menyukarkan lagi mataku untuk sembuh. Lelaki itu senyap menunggang kuda itu, sementara aku juga senyap di belakangnya dengan pelbagai persoalan.

...bersambung

No comments:

Post a Comment