Friday, April 30, 2010

Cersapen 3: Maktab As-Syakirin





Langit pekat hitam yang dihiasi bintang-bintang yang bertaburan secara berkelompok, mula menampakkan cahaya fajar merahnya. Semakin lama langit hitam mula menampakkan kecerahan beerti mahu menunjukkan bahawa siang mula ingin datang. Betapa teraturnya kehidupan alam, betapa cerahnya hati yang mengetahui ada yang Maha Besar yang menggerakkan semua ini.

Dicelahan gunung-gunung kelihatan Matahari mula menampakkan sinar. Diiringi angin pagi yang dingin membuatkan panahan matahari tidak terasa hangat, tak seiring dengan kepanasannya. Sinar pagi yang melembutkan, dan menyihatkan si penerimanya. Beruntunglah yang memulakan harinya di awal pagi itu. Betapa ramai yang terlanjur tidur kerana nikmatnya kedinginan malam hingga tak sedar kelibat pagi. Di waktu angin bertiup juga membawa debunga-debunga halus terbang berkumpulan mengikut irama angin, debunga yang banyak yang datang dari gunung-gunung dan bukit-bukit menimbulkan imej bayang di muka tanah dengan corak yang menarik. Apalagi yang indah ? ketengan pada hatiku bila melihat tasik Khulban tidak menunjukkan riaknya. Tidak berarus, dan tidak berombak hanya tenang mempamerkan bayang-bayang dan memancarkan sinar mentari.



Aku mula bersiap untuk memulakan perjalanan. Hussain juga bersiap untuk melepaskan keyrannya. Keyrannya itu hanya tunggu masa untuk dilepaskan, siap sedia untuk meragut rumput di padang, mungkin lapar kerana tidak makan semalaman.

“Aku hanya berharap satu masa nanti kita akan bertemu lagi”, senyum Hussain terukir sambil memberikan sesuatu kepadaku.

“Owh , terima kasih. Aku pasti akan bertemu dengan kamu nanti”.

Aku berpelukan dengan Hussain. Sepertinya kami ini seolah sudah lama kenal. Hussain dari fizikal dan raut wajahnya seperti adik dan umurnya seperti belasan tahun. Tetapi pemikirannya, kegigihannya umpama pemuda tidak kalah kerana muda. Aku malu menganggap dirinya seperti adik padaku, aku menganggapnya umpama sahabat sebaya dariku. Wajah dan tubuh seperti si anak, akal dan hati seperti si bapa. Beginikah keadaanya bila di syurga nanti ? Saat minda dan ruh penuh dengan pelbagai pengalaman dan cerita hidup di dunia mendapat jasad yang muda dan tampan? Aku hanya mampu tersenyum.

Aku memasukkan pemberian Hussain di dalam beg. Dan aku teruskan perjalanan pagi yang indah itu melewati pelbagai kampung dan pekan. Pertamanya aku ingin mencari sebuah kampung. Kampung yang terletak di banjaran gunung yang besar, jauh dari pekan yang lain. Kampung Zuubassar.

***

Air sungai yang mengalir jernih dan deras arusnya, di batasi dengan tebing-tebing batu kelikir kasar. Kelihatan beberapa orang pelajar maktab As-Syakirin mengambil wudhu untuk solat Zohor. Cahaya Matahari yang mula meninggi dan terasa terik, terasa nyaman apabila mengambil wudhu di air sungai yang dingin itu. Terus tidak lama kemudian, azan mula berkumandang. Para pelajar semakin lama semakin berkurangan di tebing sungai. Sementara ada 2-3 orang yang kelewatan terlihat di tebing sungai yang tidak berapa deras airnya. Mereka mencedok air dengan baldi lalu dipikul dengan perlahan-lahan ke tebing. Beberapa orang pelajar yang kelihatan tidak upaya menunggu rakannya membawa air lalu menggunakan air itu untuk berwudhu. Ada yang bertongkat, berkerusi roda, dan ada juga yang duduk di kaki tangga. Selepas siap berwudhu mereka terus ke ruang solat bersama para pelajar yang lain. Umpama kelibat ratusan semut yang menjumpai sebutir gula, begitulah kelihatannya para pelajar ini berkumpul di ruang solat untuk menunaikan solat Zohor. Tidak ada yang sengaja memperlambatkan langkah. Hanya upaya atau tidak sahaja yang menentukan siapa yang terlebih dahulu sampai ke saf hadapan. Kelihatan seorang tua, berjambang hitam dan terurus rapi duduk di sebuah kerusi roda solat bersama-sama pelajar ini. Kerusinya ditolak oleh seorang anak muda perempuan dari arah luar. Sampai di tepi kaki lima ruang solat, seolah memahami ada pelajar lelaki lain yang menyambung menolaknya ke ruang solat tadi.

“Allahuakbar”, takbir dilaungkan oleh sang imam solat. Beserta dengan itu, bergemalah seluruh ruang solat dengan takbir para jemaah dan setelah itu ruang solat kembali hening, senyap dengan kekhusyukan para tetamuNya.

“[61.4] Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berperang di jalan-Nya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kokoh”.

Surah As-Shaff kedengaran bergema di langit. Tengahari di Maktab As-Syakirin hening seperti tiada orang. Hanya bunyi air sungai dan burung-burung berkicauan kedengaran di sana.

“Assallamualaikumwarahmatullah, assallamualaikumwarahmatullah”. Salam terakhir selepas solat Zohor itu diakhiri dengan tazkirah hadis dari seorang pelajar. Para pelajar lain tekun mendengar dan mencatat beberapa isi penting yang dihuraikan oleh si pelajar yang memberi tazkirah. Selesai solat, masing-masing beredar menjalankan kerja masing-masing. Ada juga yang terus tinggal di dalam ruang solat. Ada yang bersilaturrahim, menghabiskan hafalan, tadarus Al-Quran, tertidur di penjuru ruang solat. Namun kebanyakannya beredar ke bilik masing-masing. Ada juga beberapa kumpulan pelajar yang berjalan ke pustaka maktab.

Si tua itu menolak kerusi rodanya dengan tangannya sendiri menuju ke pintu ruang solat. Tangannya menggigil berusaha sepenuh hati untuk menolak ke sana namun lemah dan payah.

“Ji, biar saya yang bantu”. Seorang anak muda memaut pemegang di belakang kerusi rodanya dan menolak perlahan ke pintu ruang solat.

“Terima kasih nak”, si tua membalas dengan senyuman yang bening dan tenang. Di ruang pintu solat, si tua dibiarkan dan pelajar itu berlalu pergi ke biliknya. Tidak berapa lama kemudian, belakang si tua itu ada tangan yang menyambung menolak kerusi rodanya.

“Sepertinya ada urusan rumit setelah solat tadi?”, kata si tua itu.

“Maaf ya bi, ada pelajar ingin bertemu Laila setelah solat tadi. Sepertinya ada urusan mustahak”. perempuan itu menjawab dengan nada lembut dan kesal. Si tua tersenyum terus.

“Lah, abi senyum sahaja kenapa?”,si gadis menampakkan riak wajah tanda tanya.

“Abi cuma fikir lalu bersyukur, maktab ini sudahlah indah. Tapi diperindahkan lagi dengan seorang puteri yang dapat membantu abi”, jelas si tua itu.

“Lah, ke situ pula, urusan kecil-kecil saja lah bi, tapi urusannya sulit bagi abi”.

“Urusan sulit? Urusan apa?”, si tua itu tampak bingung.

“Yang sulitnya urusan itu tak dapat diberitahu abi, kerana urusan itu urusan kewanitaan”, jelas si Laila, anak si tua itu.

“Owhh”, angguk si tua tanda faham. Laila terus menolak abinya ke luar ruang solat, melewati taman di maktab As-Syakirin. Sesekali pelajar menunduk memberi ucapan salam pada si tua ini. Si tua ini tetap tidak lekang memberi senyuman yang bening pada setiap pelajar yang dia temui.

“Laila, lekas bawa abi ke pustaka. Abi mahu ke sana. Nanti, tolong ambil abi ke ruang solat sebelum hampir Asar ya”.

“Baik bi”, Laila menolak si tua itu dengan sedikit laju. Dia tidak akan risau di sana kerana pasti ramai pelajar yang berada di pustaka yang dapat membantu abinya. Walaupun ramai pelajar di maktab itu, tetaplah Laila yang paling si tua itu senang untuk menolong menolak kerusi rodanya itu. Laila anak pengelola maktab As-Syakirin merupakan satu-satunya puteri si tua. Si tua ini dahulu pernah mempunyai putera-putera yang lain namun kisah putera-puteranya masih tidak jelas. Ada berita mengatakan mereka semuanya sudah mati kerana peperangan. Ada juga kisah yang mengatakan mereka hidup sebagai pelarian di negara lain. Namun, cerita hanyalah cerita. Si tua ini ternyata tidak pernah menceritakan perihal putera-puteranya kepada sesiapapun. Mungkin ada sebab-sebab yang sulit untuk dijelaskan.

Si tua ini , Jailani Hadi Ayunni. Semua pelajar di maktab As-Syakirin memanggilnya dengan panggilan ‘Ji’. Ramai yang tidak tahu dari mana asalnya Ji, latar belakang keluarganya. Yang mereka tahu dialah yang mengelola maktab ini dan punyai seorang puteri bernama Laila. Isterinya sudah lama meninggal dunia sewaktu melahirkan anak bongsunya. Anak bongsunya juga meninggal dunia kerana tidak cukup bulan. Tinggallah Ji bersama Laila dan ratusan pelajar maktab As-Syakirin. Pelajarnya yang terdiri dari anak pelarian yang tidak punyai ibu-bapa. Kebanyakan datang dari generasi sewaktu dunia melaksanakan dasar pembahagian tanah untuk menubuhkan negara baru. Rakyat-rakyat yang memberontak dengan dasar ini semuanya akan dianggap sebagai pelarian. Pelarian yang kebanyakannya tinggal berkhemah di sempadan negara akan dicerobohi oleh askar, perompak dan lanun. Ramai juga yang mati dibunuh. Namun, kebanyakan anak kecil masih terus hidup. Ramai ibu-bapa yang menjadi pelarian menasihatkan anak mereka supaya cepat meninggalkan khemah sekiranya ada orang asing yang datang menceroboh kawasan khemah mereka. Maka, kebanyakan yang mati dibunuh terdiri dari orang dewasa.

Jailani Hadi Ayunnilah yang bertanggungjawab menyelamatkan mereka. Ratusan anak-kecil ditempatkan di suatu kawasan kaki bukit yang merupakan padang yang luas yang tersembunyi. Lalu terbinalah maktab As-Syakirin. Maktab yang menyembunyikan identiti anak-anak ini supaya diri mereka tidak dituntut oleh pihak berkuasa. Disinilah pusat pengembangan ilmu bagi anak-anak ini sehinggalah mereka dewasa. Malangnya, ilmu yang banyak itu tidak dapat dibawa ke luar. Ini kerana mungkin soal keselamatan para pelajar di sini. Segala manuskrip dan kajian ilmu hanya disimpan di dalam pustaka. Pustaka As-Syabab.

Pustaka As-Syabab. Di dalamnya tersembunyi khazanah-khazanah luar biasa yang tidak diketahui oleh orang luar. 10 tingkat bangunan itu hanya dipenuhi buku-buku, lembaran kulit binatang bertulis dan pelbagai kepingan-kepingan kertas yang banyak serta mesin pencetak. Bangunan ini tidak pernah kosong dihuni pelajar di sini. Terdapat juga kamar-kamar perbincangan yang selalunya penuh ditempah oleh pelajar-pelajar. Penggalian ilmu, percetakan karya baru semuanya adalah yang terhebat pernah berlaku disini. Malangnya isinya belum tentu dapat dibawa keluar. Jikalau pustaka ini terlenyap. Hancurlah pelbagai penemuan bermanfaat menjadi debu yang ditelan masa dan tenaga.

“Abi, Laila tinggalkan abi disini ya, Laila mahu menyelesaikan urusan pelajar perempuan tadi sebentar. Abi ‘berehat’ di sini dahulu ya”.

“Baik, terima kasih”, jawab Jailani dengan senyuman. Memang di pustaka inilah tempat kunjungan yang kerap untuk beliau. Umpama tempat istirehat baginya. Dengan tekunnya pelajar disini menimba dan menggali ilmu, begitu jugalah tekunnya dia mendalami dan mengelola bahan di dalam pustaka ini. Dialah pengelola maktab, dia jugalah pustakawan di sini. Di maktab ini, tiada batasan pekerjaan yang harus ada pada setiap penghuninya. Seorang tukang kebun di maktab, juga seorang pelajar, juga seorang guru di maktab ini. Tukang masak disini juga aktif menjadi guru di maktab mengendalikan kelas hari minggu, juga seorang pelajar di maktab ini. Bahkan seorang pengelola maktab ini, tidak terasa asing bagi dirinya untuk duduk menjadi seorang pustakawan di pustaka As-Syabab ini. Baginya dia tetap terus berpuas hati dengan amal yang dapat diupayakan, biarpun kudratnya tidak banyak.

Jailani memasuki suatu bilik pustakawan. Dia mengambil sebuah buku kecil di selitkan antara buku-buku yang besar sehasta lengan itu. Agak berhabuk, jailani menyapu kulit buku dengan tangannya. Lalu meniup setelah itu. Habuk buku yang terlepas masuk kedalam rongga hidung dan mulutnya membuatkan dia terbatuk-batuk sebentar. Matanya berair, dia menyapu air di mata dengan baju lengannya. Kulit buku itu dibuka dengan baik, lalu dibacakan tajuk buku itu dengan nada kuat, “konspirasi menjatuhkan dan psikologi untuk menghadapinya”. Isi kandungan buku itu ditatap dengan teliti. Lalu, Jailani memulakan bacaannya. Dia memulakan bacaanya di meja kayu yang bulat di kaunter pustaka itu. Keberadaan pelajar yang ramai itu tidak dipedulikan olehnya lagi. Dia kembali lagi dengan tabiatnya. Kembali tekun meneliti buku itu sehingga Asar.

.....bersambung

Saturday, April 24, 2010

Cersapen 2

(sambungan cersapen...diharap kan dapat manfaat dari karya yang malu-malu segan ini)

Si tua itu merenung mataku dalam-dalam. Terpaku melihatku sambil fikirannya melayang entah kemana haluannya. Tiba-tiba matanya mengalirkan air mata. Air mata yang mengalir tanpa ada suara sebak, terus sahaja mengalir. Aku yang melihatnya dari tadi terpinga-pinga dengan apa yang terjadi padanya. Belum sempat aku bertanyakan tentang hal tersebut dia memulakan katanya dahulu,

“Anak muda, maaf. Aku melihat kamu dan terus mengenang masa laluku”.

“Apakah masa laluku juga waktu yang menyedihkan seperti kisahku tadi?”

“Tidak, aku melalui hari-hari yang lebih sedih dari kamu.”

Si tua itu mengelap air matanya cepat-cepat lantas cuba untuk tersenyum. Dia mengubah topik perbualan kami.

“Sebentar lagi, negeri ini akan lenyap. Selesai sahaja istiadat pelantikan presiden negara republik ini, maka lenyaplah Betlehem”.

Si tua itu mengatakan dengan rasa sebak. Dia tahu bahawa aku tahu semua itu. Dia tahu negeri Betlehem inilah tanah lahirku dan tanah lahirnya. Negeri inilah yang dahulu tertanam rasa cinta antara penduduknya.

Betlehem negeri yang kecil. Tapi mempunyai upaya yang besar. Mengalahkan negara-negara yang lain. Sumber di tanahnya tidak ada. Penduduknya ramai dan padat. Maka hampir kesemua tanahnya berpenghuni. Rumah-rumah dibina dari bawah tanah hingga ke puncak langit tersergam indah di Betlehem. Lalu mana sumbernya? Dari manakah penduduknya menjana ekonomi? Dari manakah penduduknya memperoleh pendapatan? Dari manakah penduduknya mendapat makanan?

Jika ditanya soalan ini, rata-rata penduduknya akan menjawab, “bukankah Allah yang memberikan semua itu?.Allah jualah yang bijak merancang semuanya. Betlehem dibentuk dengan penduduk-penduduk yang berilmu, yang tinggi akhlak, dan tinggi taqwa. Rata-rata mempunyai perniagaan dan pekerjaan di negara lain. Punya ladang yang luas di negara lain, punya kilang dan pusat pelabuhan di negara lain, malah paling kecil upaya biarpun masih tidak berhijrah dan tinggal di Betlehem, mereka berupaya menjadi perunding untuk penduduk negara lain. Perunding kesihatan, kejuruteraan, guaman, pertanian, pertahanan dan lain-lain. Penduduk Betlehem ada keistimewaannya sendiri. Iaitu ilmu. Suatu penghargaan yang pada masa ini hanya penduduk di sana sahaja yang tahu nilainya. Di kala negara lain sibuk mengumpul nilai-nilai material yang lain seperti emas, bijih besi, getah, kelapa sawit. Tapi penduduk Betlehem ternampak ilmu. Begitu juga taqwa. Dikala nilai-nilai ini diketepikan oleh negara lain.

Satu saat kedengkian berlaku. Gara-gara dengkinya mereka dengan keamanan Betlehem. Dengkinya mereka dengan nilai penduduk negeri ini. Lalu, negeri ini diruntuhkan dengan perancangan yang teliti. Dan si tua inilah yang menjadi mangsa. Selama-lamanya si tua akan merasa bersalah dengan apa yang dia lakukan. Seolah-olah menjadi kambing hitam disebalik perancangan yang teliti. Mereka yang dengki ini mahu melenyapkan Betlehem. Betlehem yang tidak ada keburukan itu, dilenyapkan atas kedengkian dan keegoan yang meluap-luap.

“Orang tua, kalau kamu tidak keberatan, bolehkah saya mengetahui nama kamu”.

Si tua terdiam agak lama, lalu menjawab “Khalis Shaifuli”

“Khalis Shaifuli?!”, aku terkejut. Siapa yang tidak tahu dengan nama ini. Yang merupakan nama yang mencatat sejarah kemahsyuran Betlehem. Nama ini jugalah yang menyebabkan Betlehem dihancurkan. Tapi aku pasti, bukanlah si tua ini yang menyebabkan Betlehem musnah. Tetapi kedengkianlah yang menyebabkan Betlehem musnah.

Berpuluh tahun lalu, nama Khalis Shaifuli terkenal di Betlehem. Beliau seorang jurutera. Pakar dalam bidang geologi. Mungkin pada mulanya dia seperti jurutera-jurutera lain, tidak nampak keistimewaannya. Sehinggalah suatu hari, suatu sejarah tercatat di Betlehem. Di dada akhbar luar negara terpampang nama beliau. “KHALIS SHAIFULI AND AMAZING CREATOR!”.

Khalis Shaifuli telah mencipta suatu alat yang mengemparkan seluruh dunia. Alat yang boleh melihat angin. Semenjak dari itu, Betlehem menjadi tumpuan. Tumpuan pelbagai agensi dari seluruh dunia. Mereka juga tidak tahu fungsi alat itu, tetapi kerana keinginan untuk melihat angin, semuanya teruja dengan berita itu.

Padahal kebanyakan dari mereka kecewa, keran dengan melihat angin itu tidaklah seistimewa yang mereka sangkakan. Begitu ramai yang kecewa. Termasuklah kerabat raja, para pemimpin dan lain-lain. Ada juga yang merasa tertipu dengan itu. Ada juga yang merasa diperendahkan. Masakan tidak. Golongan-golongan yang merasakan diri mereka tinggi di mata msayarakat ini, yang mempunyai tanah kerajaan seluas-luasnya meras tertipu dengan orang dari Betlehem ini. Negeri yang kecil yang kelihatan tidak ada apa-apa.

Atas kedengkian yang meluap-luap timbullah niat mereka untuk melenyapkan Betlehem. Penduduknya dipupuskan. Berita palsu dan fitnah juga berleluasa. Banyak berita mengatakan Khalis Shaifuli adalah punca kemusnahan negeri Betlehem ini. Tidak cukup dengan itu, Khalis Shaifuli diancam dengan undang-undang yang di buat oleh pakatan negara mereka sendiri. Iaitu ancaman bunuh. Khalis Shaifuli menjadi pelarian. Namun, keterikatan jiwa penduduk Betlehem yang masih hidup inilah yang membuatkan Khalis Shaifuli masih hidup. Mereka percaya Khalis Shaifuli bukan penyebab Betlehem hancur. Khalis Shaifuli disorokkan di tempat yang tidak tetap. Ini semua atas pertolongan penduduk Betlehem yang tinggal dinegara lain.

Lalu aku menemuinya disini. Iaitu di hadapan mataku ini. Lelaki yang dahulu aku hanya mendengar sahaja namanya sudah membuat aku kagum dengan hasil kerjanya yang hebat. Biarpun aku tidak pernah melihatnya. Aku tidak pernah melihat wajahnya sebelum ini. Mungkin sahaja dia menipu. Mungkin sahaja si tua ini barangkali menhadapi penyakit mental dan mengakui dirinya adalah Khalis Shaifuli. Tapi aku percaya dialah orangnya. Aku dapat menilai dengan diriku sendiri. Bahawa si tua inilah Khalis Shaifuli. Lelaki ini jugalah yang paling dekehendaki oleh pihak berkuasa.

“Anak muda, aku tahu kamu dalam kesedihan sekarang. Tapi kamu tidak ada masa untuk bersedih berpanjangan. Kamu ini hidup dengan misi. Kamulah yang terselamat di antara yang lain. Kamu jugalah yang bertanggungjawab atas semua ini”.

Dam! dam! dam!. Pintu rumah itu diketuk dengan kuat. Ada upaya untuk merobohkan pintu itu.

“kamu tidak ada masa lagi. Lekas ikut saya”. Si tua itu memegang tanganku dan memimpinku ke sebuah lorong.

“Ikut lorong ini dan berlarilah sehingga kamu menjumpai sebuah bukit dan jalan keluar. Ingat pesan saya, jangan kamu memberitahu sesiapapun yang kamu ini berasal dari Betlehem kecuali kamu mempercayai orang itu”. Aku mengangguk tanda faham.

“Bagaimana dengan kamu, Khalis?”

“Biarlah aku mati disini. Mudahan jasadku ini dapat menghilangkan kedengkian hati mereka dan mudahan Betlehem akan wujud kembali”. terang si tua itu.

Aku memujuknya dengan menarik tangannya untuk mengikutku tetapi dengan pantas dengan menarik melepaskan tangannya dari tanganku. Kesedihan menerpa di hatiku. Betapa sucinya pengorbanan si tua yang tidak bersalah ini. Sanggup mengorbankan dirinya demi negeri yang dicintai. Yang sudah lenyap oleh tangan durjana. Satu masa dirinya dilambung dengan kemahsyuran dan dia masih tetap merendahkan diri. Satu masa kemahsyuran hilang dan dia ditimpa kesusahan ata niat jahat si pendengki. Namun, si tua ini tetap tidak susah hati. Cuma hatinya sedih seperti hati-hati yang lain. Melihat negeri yang dicintai lenyap atas alasan yang remeh. Ciptaan yang terlalu pintar untuk diterima akal. Selamanya si tua ini akan rasa bersalah atas apa yang terjadi. Tapi mungkin perngorbananlah yang akan membuat dirinya tenang.

Aku berlari dengan pantas tanpa menoleh ke belakang. Lorong yang gelap itu aku lalui dengan pantas, -tanpa melihat ke belakang. Aku tidak dapat melihat apa-apa, hanya kaki yang membawaku kehadpan. Sehinggalah aku menemui cahaya dihapanku, dan cahaya semakin lama tampak semakin besar. Aku sudah menghampiri jalan keluar. Memanglah jalan keluar ini di atas puncak suatu bukit. Yang di atasnya aku dapat melihat negeri ku yang indah. Tetapi telah hancur. Di atas ini aku dapat melihat rumah tempat persembunyian Khalis Shaifuli. Yang tersembunyi oleh daun-daun hijau di sekeliling rumah. Seperti rumah yang tidak berpenghuni. Memang itu merupakan tempat persembunyian yang baik.

Dummm!!! Satu letupan yang kuat dan teramat dahsyat menggegarkan bumi. Dengan sekelip mata aku melihat rumah tempat persembunyian si tua Khalis musnah terbakar. Aku terduduk menitiskan air mata. Hanya Allah sahaja yang dapat menyelamatkan Khalis. Rumahnya diletupkan pihak berkuasa dengan keadaan tidak ada sesiapa lagi yang akan selamat jika mendiami rumah itu di kala letupan yang dahsyat itu berlaku. Begitu dalam kedengkian mereka terhadap Khalis. Apakah hanya kerana keegoan mereka sanggup melakukan apas sahaja biarpun dengan orang yang bersalah sepertinya.

Di atas bukit ini, aku lemah tak berdaya. Aku hanya mahu tidur untuk melupakan semua ini. Aku melihat Betlehem, hancur musnah seperti bumi berlipat-lipat. Di sudut lain aku melihat sebuah rumah dan si tua yang hebat. Juga hancur dengan kepintaranya, dan segala kebaikan yang ada padanya.

Akulah mujahid sesat dari Betlehem. Kisah diriku sepertinya baru sahaja bermula. Misi aku terlalu besar untuk diceritakan di kedai kopi. Aku ingin membina kembali Betlehem. Juga membina penduduk untuk mengisi negeri ini. Dengan penduduk yang baik akhlaknya, cerdas fikirannya, dan dalam cintanya. Bagaimanakah permulaan hidupku untuk membina misi ini? Apakah sudah cukup jika aku menghebahkan dengan memampangkan iklan atas misi ini? Aku sedih atas semua ini. Umpamanya beban yang berat terpikul atas bahuku. Aku terpaksa melupakan semuanya. Aku terpaksa melupakan saudar maraku yang hilang menjadi pelarian di negara lain. Mengapa aku tidak sahaja menjadi seperti mereka? Menjadi pelarian dan mendapat perlindungan di negara lain. Tidak! Sama sekali tidak! Jikalau jejak aku menjadi pelarian, Betlehem selamanya tidak akan wujud kembali.

Betlehem bukan seperti negeri lain. Aku bukan merindukan Betlehem kerana keindahannya, atau kerana keistimewaannya. Tetapi di Betlehem ada cinta. Cinta yang buat diri hina jadi membangun untuk menjadi lebih baik. Seharusnya sifat cinta juga begitu. Cinta justeru bukannya memujuk rayu, tetapi membangun diri untuk jadi lebih baik. Justeru di Betlehemlah taman cinta untuk pemuda pemudi yang inginkan kebaikan. Kerana itulah Betlehem sentiasa membangun. Kerana Betlehem membangun atas nama cinta. Atas nama yang sama jugalah aku akan bangunkan Betlehem ini. Cinta atas nama Allah dan Rasul, serta cinta atas segala harta ciptaanNya.

“Kamu seperti termenung jauh beribu batu, sudah sampai manakah lamunan kamu itu?”, Hussain memerli aku dengan tersenyum. Aku tersentak dari lamunan.

“Owh tidak ada apa-apa”, aku tersenyum sambil menghirup teh yang disediakan Hussain.

“Jikalau kamu mahu, kamu boleh tinggal disini, jikalau kamu mahukan kerja, kamu boleh membantuku memelihara keyran ini,” jelas Hussain, si penggembala keyran.

“Terima kasih kerana kebaikan kamu, saya mungkin tidak lama disini, maaf”, jawabku dengan begitu jelas dan sopan agar tidak menyinnggung perasan Hussain.

“Selepas ini, kemanakah kamu akan pergi?”. Hussain bertanya.

“Selama kaki ini masih mampu melangkah, saya akan berjalan dari Matahari terbit hinggalah waktu ianya terbenam kembali”. Aku menjawab.

“Wah, seperti drama juga ayat kamu ini. Kamu juga peminat sastera Chairil Anwar ya?”, jenaka Hussain timbul lagi. Kami ketawa memecah keheningan malam yang sunyi di kampung itu. Selepas ini aku harus melangkahkan kakiku. Sebagai seorang mujahid. Mujahid yang sesat dan ingin ‘lekas pulang’.

....bersambung

Monday, April 12, 2010

Cersapen : Ketika melihat langit



[Salam, ini mungkin sedikit cebisan dari kisah "mujahid sesat dari betlehem", aku namakan cersapen (cerita sangat pendek). Mudahan Allah akan terus baerikan ilham dan kesungguhan untuk aku berkarya dengan terus ameen.]

“Kamu pernah pergi Betlehem?” aku bertanya pada Hussain, anak pengembala keyran. “Belum pernah, ramai orang katakan nrgeri itu sudah tidak wujud lagi. Selepas peperangan antara fahaman dan puak, negara dibahagi sama rata. Tapi matlamat perang itu cuma satu, untuk melenyapkan Betlehem. Askar yang tidak tahu akan hal ini semuanya mati dengan matlamat pengorbanan yang sia-sia. Tanpa tujuan”, jawab Hussain.

Aku tersentak. Ternyata Hussain si anak pengembala keyran ini banyak tahu. “Kamu benar dan banyak tahu! Tapi kamu salah. Betlehem masih wujud. Betlehem masih wujud di hati saya”.

Hussain seolah terkejut dan baru mengetahui yang aku ini dari Betlehem. Dia tidak mengenali namaku. Dia hanya tahu aku seorang pemuda yang baru berjumpa dengannya sebentar tadi. Berehat di tepi pokok yang rendang di padang rumput yang luas. Dikelilingi gunung-ganang dan batu kapur. Ditepinya terletak sebuah tasik yang luas saujana mata memandang. Aku menemui Hussain sedang berehat menjaga keyran bapanya. Dengan hanya sebutir senyuman dan sapaan, ternyata dia menyambut sapaan dan senyumanku. Sambutan itu aku hargai dengan hadiah; sebiji epal merah dari Roosky. Kerana epal itu, aku dan dia meneruskan perbualan. Kerana epal itu aku berjumpa seorang teman. Ada hal yang aku tahu tentang teman baru ku ini. Kerana asyiknya kami berbual dan bergelak ketawa, dia lupa untuk menanyakan asalku, keturunanku, pekerjaanku, dan juga namaku.

Habis memakan epal, dia mengorek tanah di sebelah pokok yang kami duduk dengan tangan. Lalau dia asingkan biji dan tangkai epal. Bijinya ditanam asing dengan tangkai epal tersebut. Hussain mengambus lebihan itu. Dia mengambil bekalan air yang dibawanya lalu menyiram epal tadi. “Mudah-mudahan epal Roosky akan tumbuh di tanah ini”, katanya sambil tersenyum pada aku. Aku membalas senyumannya sambil melahirkan rasa takjub. Hussain seorang yang teliti. Kebiasaan orang akan membuang tangkai epal itu begitu sahaja. Tapi bagi Hussain, tiap penciptaan epal itu ada kegunaannya. Aku kagum. Tapi aku hanya sembunyikan kekaguman itu dalam hati.

“Di betlehem sangat unik.” aku menyambungkan pebualan kami.

“Kenapa?”.

“Kerana di Betlehem, kamu boleh melihat angin.”

“Melihat angin?!” Hussain terkejut. Memang Hussain patut terkejut. Angin. Belum pernah orang melihat angin. Angin hanya dapat dirasa dan tidak dapat dilihat.

“Ya, di Betlehem angin cuba menampakkan dirinya”.

“Bagaimanakah rupanya angin?”

“Angin rupanya tiada warna, tiada bentuk yang tetap,tiada rupa, tiada anggota badan. Ianya seolah tidak hidup. Tapi bergerak-gerak. Umpama rumpai laut dalam lautan. Apabila kamu melihatnya,kamu akan rasa biasa sahaja. Memang sesiapa yang belum melihatnya akan teruja untuk melihat. Tetapi selepas melihatnya akan rasa tawar dan biasa. Pesona angin bukan pada melihatnya, tapi pada merasai keamananya tika bertiup lembut atau merasai kedahsyatannya ketika melaungkan taufan”.

“Oh kalau begitu, aku akan berpuas hati sahaja dengan merasai angin. Kalau pesonanya hanya dengan merasainya sahaja.” Hussain tersenyum mendengar penjelasanku.

Kami duduk melewati petang. Angin di padang itu begitu asyik. Kami minum air teh yang dibawa oleh Hussain. Sambil angin meniup kehangatan teh dan membantu menyejukkannya untukku. Aku jadi malu dengan angin. Seolah aku merendahkannya pada Hussain. Tapi angin sahabat yang jujur. Angin masih meniup lembut aku walau betapa jauh aku berada pada kesesatan. Aku tidak pernah merasakan angin melayani aku double-standard walaupun apa juga keadaan diriku. Sama ada baik mahupun buruk. Oh angin, aku tidak tahu banyak akan rahsiamu, malahan aku juga tidak tahu rahsia sang Penciptamu. Oh aku benar berada dalam kesesatan dan keseorangan. Oh, angin kau benar sang peneman yang jujur.

“Sudah kita berhenti bicara pasal angin.” Hussain menamatkan lamunanku dan dia seolah tahu tentang hal apa yang membuat aku mengelamun. “Marilah datang ke rumahku. Bermalam di sana sebelum kamu menyambung perjalanan kamu lagi”. Hussain mengajakku dengan bersungguh-sungguh.

“Baiklah”, jawabku dengan malu. Aku akui aku perlukan tempat untuk merehatkan diri. Dan aku juga teringin untuk mengenali sahabat baruku ini.

Hussain menghalau keyrannya. Seperti mengetahui bahawa tiba masa untuk pulang, keyrannya itu berkumpul dan pulang berkelompok sambil Hussain berada dibelakang kelompok tersebut. Keyran ini binatang yang besar. Mukanya seperti serigala tapi berkaki dua dan bertangan umpama kangaroo di Australia. Sebahagian orang menggunakan keyran sebagai binatang perliharaan. Ada juga yang menggunakan sebagai binatang ternakan kerana daging keyran yang sedap apabila dipanggang. Apabila dipanggang, lemak daging akan keluar dengan sendiri dan ini membuatkan dagingnya amat sihat jika dimakan secara panggang.

Kami berjalan melewati senja. Matahari terbenam di balik gunung-ganang yang dikelilingi padang yang luas. Jalan yang kami lalui dengan banyak kipas angin besar sebagai punca janakuasa pada rumah-rumah berhampiran. Aku merasai angin. Angin yang sentiasa menemani aku. Angin yang tersenyum melihatku dengan sahabat baruku, Hussain. :)