Saturday, April 24, 2010

Cersapen 2

(sambungan cersapen...diharap kan dapat manfaat dari karya yang malu-malu segan ini)

Si tua itu merenung mataku dalam-dalam. Terpaku melihatku sambil fikirannya melayang entah kemana haluannya. Tiba-tiba matanya mengalirkan air mata. Air mata yang mengalir tanpa ada suara sebak, terus sahaja mengalir. Aku yang melihatnya dari tadi terpinga-pinga dengan apa yang terjadi padanya. Belum sempat aku bertanyakan tentang hal tersebut dia memulakan katanya dahulu,

“Anak muda, maaf. Aku melihat kamu dan terus mengenang masa laluku”.

“Apakah masa laluku juga waktu yang menyedihkan seperti kisahku tadi?”

“Tidak, aku melalui hari-hari yang lebih sedih dari kamu.”

Si tua itu mengelap air matanya cepat-cepat lantas cuba untuk tersenyum. Dia mengubah topik perbualan kami.

“Sebentar lagi, negeri ini akan lenyap. Selesai sahaja istiadat pelantikan presiden negara republik ini, maka lenyaplah Betlehem”.

Si tua itu mengatakan dengan rasa sebak. Dia tahu bahawa aku tahu semua itu. Dia tahu negeri Betlehem inilah tanah lahirku dan tanah lahirnya. Negeri inilah yang dahulu tertanam rasa cinta antara penduduknya.

Betlehem negeri yang kecil. Tapi mempunyai upaya yang besar. Mengalahkan negara-negara yang lain. Sumber di tanahnya tidak ada. Penduduknya ramai dan padat. Maka hampir kesemua tanahnya berpenghuni. Rumah-rumah dibina dari bawah tanah hingga ke puncak langit tersergam indah di Betlehem. Lalu mana sumbernya? Dari manakah penduduknya menjana ekonomi? Dari manakah penduduknya memperoleh pendapatan? Dari manakah penduduknya mendapat makanan?

Jika ditanya soalan ini, rata-rata penduduknya akan menjawab, “bukankah Allah yang memberikan semua itu?.Allah jualah yang bijak merancang semuanya. Betlehem dibentuk dengan penduduk-penduduk yang berilmu, yang tinggi akhlak, dan tinggi taqwa. Rata-rata mempunyai perniagaan dan pekerjaan di negara lain. Punya ladang yang luas di negara lain, punya kilang dan pusat pelabuhan di negara lain, malah paling kecil upaya biarpun masih tidak berhijrah dan tinggal di Betlehem, mereka berupaya menjadi perunding untuk penduduk negara lain. Perunding kesihatan, kejuruteraan, guaman, pertanian, pertahanan dan lain-lain. Penduduk Betlehem ada keistimewaannya sendiri. Iaitu ilmu. Suatu penghargaan yang pada masa ini hanya penduduk di sana sahaja yang tahu nilainya. Di kala negara lain sibuk mengumpul nilai-nilai material yang lain seperti emas, bijih besi, getah, kelapa sawit. Tapi penduduk Betlehem ternampak ilmu. Begitu juga taqwa. Dikala nilai-nilai ini diketepikan oleh negara lain.

Satu saat kedengkian berlaku. Gara-gara dengkinya mereka dengan keamanan Betlehem. Dengkinya mereka dengan nilai penduduk negeri ini. Lalu, negeri ini diruntuhkan dengan perancangan yang teliti. Dan si tua inilah yang menjadi mangsa. Selama-lamanya si tua akan merasa bersalah dengan apa yang dia lakukan. Seolah-olah menjadi kambing hitam disebalik perancangan yang teliti. Mereka yang dengki ini mahu melenyapkan Betlehem. Betlehem yang tidak ada keburukan itu, dilenyapkan atas kedengkian dan keegoan yang meluap-luap.

“Orang tua, kalau kamu tidak keberatan, bolehkah saya mengetahui nama kamu”.

Si tua terdiam agak lama, lalu menjawab “Khalis Shaifuli”

“Khalis Shaifuli?!”, aku terkejut. Siapa yang tidak tahu dengan nama ini. Yang merupakan nama yang mencatat sejarah kemahsyuran Betlehem. Nama ini jugalah yang menyebabkan Betlehem dihancurkan. Tapi aku pasti, bukanlah si tua ini yang menyebabkan Betlehem musnah. Tetapi kedengkianlah yang menyebabkan Betlehem musnah.

Berpuluh tahun lalu, nama Khalis Shaifuli terkenal di Betlehem. Beliau seorang jurutera. Pakar dalam bidang geologi. Mungkin pada mulanya dia seperti jurutera-jurutera lain, tidak nampak keistimewaannya. Sehinggalah suatu hari, suatu sejarah tercatat di Betlehem. Di dada akhbar luar negara terpampang nama beliau. “KHALIS SHAIFULI AND AMAZING CREATOR!”.

Khalis Shaifuli telah mencipta suatu alat yang mengemparkan seluruh dunia. Alat yang boleh melihat angin. Semenjak dari itu, Betlehem menjadi tumpuan. Tumpuan pelbagai agensi dari seluruh dunia. Mereka juga tidak tahu fungsi alat itu, tetapi kerana keinginan untuk melihat angin, semuanya teruja dengan berita itu.

Padahal kebanyakan dari mereka kecewa, keran dengan melihat angin itu tidaklah seistimewa yang mereka sangkakan. Begitu ramai yang kecewa. Termasuklah kerabat raja, para pemimpin dan lain-lain. Ada juga yang merasa tertipu dengan itu. Ada juga yang merasa diperendahkan. Masakan tidak. Golongan-golongan yang merasakan diri mereka tinggi di mata msayarakat ini, yang mempunyai tanah kerajaan seluas-luasnya meras tertipu dengan orang dari Betlehem ini. Negeri yang kecil yang kelihatan tidak ada apa-apa.

Atas kedengkian yang meluap-luap timbullah niat mereka untuk melenyapkan Betlehem. Penduduknya dipupuskan. Berita palsu dan fitnah juga berleluasa. Banyak berita mengatakan Khalis Shaifuli adalah punca kemusnahan negeri Betlehem ini. Tidak cukup dengan itu, Khalis Shaifuli diancam dengan undang-undang yang di buat oleh pakatan negara mereka sendiri. Iaitu ancaman bunuh. Khalis Shaifuli menjadi pelarian. Namun, keterikatan jiwa penduduk Betlehem yang masih hidup inilah yang membuatkan Khalis Shaifuli masih hidup. Mereka percaya Khalis Shaifuli bukan penyebab Betlehem hancur. Khalis Shaifuli disorokkan di tempat yang tidak tetap. Ini semua atas pertolongan penduduk Betlehem yang tinggal dinegara lain.

Lalu aku menemuinya disini. Iaitu di hadapan mataku ini. Lelaki yang dahulu aku hanya mendengar sahaja namanya sudah membuat aku kagum dengan hasil kerjanya yang hebat. Biarpun aku tidak pernah melihatnya. Aku tidak pernah melihat wajahnya sebelum ini. Mungkin sahaja dia menipu. Mungkin sahaja si tua ini barangkali menhadapi penyakit mental dan mengakui dirinya adalah Khalis Shaifuli. Tapi aku percaya dialah orangnya. Aku dapat menilai dengan diriku sendiri. Bahawa si tua inilah Khalis Shaifuli. Lelaki ini jugalah yang paling dekehendaki oleh pihak berkuasa.

“Anak muda, aku tahu kamu dalam kesedihan sekarang. Tapi kamu tidak ada masa untuk bersedih berpanjangan. Kamu ini hidup dengan misi. Kamulah yang terselamat di antara yang lain. Kamu jugalah yang bertanggungjawab atas semua ini”.

Dam! dam! dam!. Pintu rumah itu diketuk dengan kuat. Ada upaya untuk merobohkan pintu itu.

“kamu tidak ada masa lagi. Lekas ikut saya”. Si tua itu memegang tanganku dan memimpinku ke sebuah lorong.

“Ikut lorong ini dan berlarilah sehingga kamu menjumpai sebuah bukit dan jalan keluar. Ingat pesan saya, jangan kamu memberitahu sesiapapun yang kamu ini berasal dari Betlehem kecuali kamu mempercayai orang itu”. Aku mengangguk tanda faham.

“Bagaimana dengan kamu, Khalis?”

“Biarlah aku mati disini. Mudahan jasadku ini dapat menghilangkan kedengkian hati mereka dan mudahan Betlehem akan wujud kembali”. terang si tua itu.

Aku memujuknya dengan menarik tangannya untuk mengikutku tetapi dengan pantas dengan menarik melepaskan tangannya dari tanganku. Kesedihan menerpa di hatiku. Betapa sucinya pengorbanan si tua yang tidak bersalah ini. Sanggup mengorbankan dirinya demi negeri yang dicintai. Yang sudah lenyap oleh tangan durjana. Satu masa dirinya dilambung dengan kemahsyuran dan dia masih tetap merendahkan diri. Satu masa kemahsyuran hilang dan dia ditimpa kesusahan ata niat jahat si pendengki. Namun, si tua ini tetap tidak susah hati. Cuma hatinya sedih seperti hati-hati yang lain. Melihat negeri yang dicintai lenyap atas alasan yang remeh. Ciptaan yang terlalu pintar untuk diterima akal. Selamanya si tua ini akan rasa bersalah atas apa yang terjadi. Tapi mungkin perngorbananlah yang akan membuat dirinya tenang.

Aku berlari dengan pantas tanpa menoleh ke belakang. Lorong yang gelap itu aku lalui dengan pantas, -tanpa melihat ke belakang. Aku tidak dapat melihat apa-apa, hanya kaki yang membawaku kehadpan. Sehinggalah aku menemui cahaya dihapanku, dan cahaya semakin lama tampak semakin besar. Aku sudah menghampiri jalan keluar. Memanglah jalan keluar ini di atas puncak suatu bukit. Yang di atasnya aku dapat melihat negeri ku yang indah. Tetapi telah hancur. Di atas ini aku dapat melihat rumah tempat persembunyian Khalis Shaifuli. Yang tersembunyi oleh daun-daun hijau di sekeliling rumah. Seperti rumah yang tidak berpenghuni. Memang itu merupakan tempat persembunyian yang baik.

Dummm!!! Satu letupan yang kuat dan teramat dahsyat menggegarkan bumi. Dengan sekelip mata aku melihat rumah tempat persembunyian si tua Khalis musnah terbakar. Aku terduduk menitiskan air mata. Hanya Allah sahaja yang dapat menyelamatkan Khalis. Rumahnya diletupkan pihak berkuasa dengan keadaan tidak ada sesiapa lagi yang akan selamat jika mendiami rumah itu di kala letupan yang dahsyat itu berlaku. Begitu dalam kedengkian mereka terhadap Khalis. Apakah hanya kerana keegoan mereka sanggup melakukan apas sahaja biarpun dengan orang yang bersalah sepertinya.

Di atas bukit ini, aku lemah tak berdaya. Aku hanya mahu tidur untuk melupakan semua ini. Aku melihat Betlehem, hancur musnah seperti bumi berlipat-lipat. Di sudut lain aku melihat sebuah rumah dan si tua yang hebat. Juga hancur dengan kepintaranya, dan segala kebaikan yang ada padanya.

Akulah mujahid sesat dari Betlehem. Kisah diriku sepertinya baru sahaja bermula. Misi aku terlalu besar untuk diceritakan di kedai kopi. Aku ingin membina kembali Betlehem. Juga membina penduduk untuk mengisi negeri ini. Dengan penduduk yang baik akhlaknya, cerdas fikirannya, dan dalam cintanya. Bagaimanakah permulaan hidupku untuk membina misi ini? Apakah sudah cukup jika aku menghebahkan dengan memampangkan iklan atas misi ini? Aku sedih atas semua ini. Umpamanya beban yang berat terpikul atas bahuku. Aku terpaksa melupakan semuanya. Aku terpaksa melupakan saudar maraku yang hilang menjadi pelarian di negara lain. Mengapa aku tidak sahaja menjadi seperti mereka? Menjadi pelarian dan mendapat perlindungan di negara lain. Tidak! Sama sekali tidak! Jikalau jejak aku menjadi pelarian, Betlehem selamanya tidak akan wujud kembali.

Betlehem bukan seperti negeri lain. Aku bukan merindukan Betlehem kerana keindahannya, atau kerana keistimewaannya. Tetapi di Betlehem ada cinta. Cinta yang buat diri hina jadi membangun untuk menjadi lebih baik. Seharusnya sifat cinta juga begitu. Cinta justeru bukannya memujuk rayu, tetapi membangun diri untuk jadi lebih baik. Justeru di Betlehemlah taman cinta untuk pemuda pemudi yang inginkan kebaikan. Kerana itulah Betlehem sentiasa membangun. Kerana Betlehem membangun atas nama cinta. Atas nama yang sama jugalah aku akan bangunkan Betlehem ini. Cinta atas nama Allah dan Rasul, serta cinta atas segala harta ciptaanNya.

“Kamu seperti termenung jauh beribu batu, sudah sampai manakah lamunan kamu itu?”, Hussain memerli aku dengan tersenyum. Aku tersentak dari lamunan.

“Owh tidak ada apa-apa”, aku tersenyum sambil menghirup teh yang disediakan Hussain.

“Jikalau kamu mahu, kamu boleh tinggal disini, jikalau kamu mahukan kerja, kamu boleh membantuku memelihara keyran ini,” jelas Hussain, si penggembala keyran.

“Terima kasih kerana kebaikan kamu, saya mungkin tidak lama disini, maaf”, jawabku dengan begitu jelas dan sopan agar tidak menyinnggung perasan Hussain.

“Selepas ini, kemanakah kamu akan pergi?”. Hussain bertanya.

“Selama kaki ini masih mampu melangkah, saya akan berjalan dari Matahari terbit hinggalah waktu ianya terbenam kembali”. Aku menjawab.

“Wah, seperti drama juga ayat kamu ini. Kamu juga peminat sastera Chairil Anwar ya?”, jenaka Hussain timbul lagi. Kami ketawa memecah keheningan malam yang sunyi di kampung itu. Selepas ini aku harus melangkahkan kakiku. Sebagai seorang mujahid. Mujahid yang sesat dan ingin ‘lekas pulang’.

....bersambung

No comments:

Post a Comment