Friday, April 30, 2010

Cersapen 3: Maktab As-Syakirin





Langit pekat hitam yang dihiasi bintang-bintang yang bertaburan secara berkelompok, mula menampakkan cahaya fajar merahnya. Semakin lama langit hitam mula menampakkan kecerahan beerti mahu menunjukkan bahawa siang mula ingin datang. Betapa teraturnya kehidupan alam, betapa cerahnya hati yang mengetahui ada yang Maha Besar yang menggerakkan semua ini.

Dicelahan gunung-gunung kelihatan Matahari mula menampakkan sinar. Diiringi angin pagi yang dingin membuatkan panahan matahari tidak terasa hangat, tak seiring dengan kepanasannya. Sinar pagi yang melembutkan, dan menyihatkan si penerimanya. Beruntunglah yang memulakan harinya di awal pagi itu. Betapa ramai yang terlanjur tidur kerana nikmatnya kedinginan malam hingga tak sedar kelibat pagi. Di waktu angin bertiup juga membawa debunga-debunga halus terbang berkumpulan mengikut irama angin, debunga yang banyak yang datang dari gunung-gunung dan bukit-bukit menimbulkan imej bayang di muka tanah dengan corak yang menarik. Apalagi yang indah ? ketengan pada hatiku bila melihat tasik Khulban tidak menunjukkan riaknya. Tidak berarus, dan tidak berombak hanya tenang mempamerkan bayang-bayang dan memancarkan sinar mentari.



Aku mula bersiap untuk memulakan perjalanan. Hussain juga bersiap untuk melepaskan keyrannya. Keyrannya itu hanya tunggu masa untuk dilepaskan, siap sedia untuk meragut rumput di padang, mungkin lapar kerana tidak makan semalaman.

“Aku hanya berharap satu masa nanti kita akan bertemu lagi”, senyum Hussain terukir sambil memberikan sesuatu kepadaku.

“Owh , terima kasih. Aku pasti akan bertemu dengan kamu nanti”.

Aku berpelukan dengan Hussain. Sepertinya kami ini seolah sudah lama kenal. Hussain dari fizikal dan raut wajahnya seperti adik dan umurnya seperti belasan tahun. Tetapi pemikirannya, kegigihannya umpama pemuda tidak kalah kerana muda. Aku malu menganggap dirinya seperti adik padaku, aku menganggapnya umpama sahabat sebaya dariku. Wajah dan tubuh seperti si anak, akal dan hati seperti si bapa. Beginikah keadaanya bila di syurga nanti ? Saat minda dan ruh penuh dengan pelbagai pengalaman dan cerita hidup di dunia mendapat jasad yang muda dan tampan? Aku hanya mampu tersenyum.

Aku memasukkan pemberian Hussain di dalam beg. Dan aku teruskan perjalanan pagi yang indah itu melewati pelbagai kampung dan pekan. Pertamanya aku ingin mencari sebuah kampung. Kampung yang terletak di banjaran gunung yang besar, jauh dari pekan yang lain. Kampung Zuubassar.

***

Air sungai yang mengalir jernih dan deras arusnya, di batasi dengan tebing-tebing batu kelikir kasar. Kelihatan beberapa orang pelajar maktab As-Syakirin mengambil wudhu untuk solat Zohor. Cahaya Matahari yang mula meninggi dan terasa terik, terasa nyaman apabila mengambil wudhu di air sungai yang dingin itu. Terus tidak lama kemudian, azan mula berkumandang. Para pelajar semakin lama semakin berkurangan di tebing sungai. Sementara ada 2-3 orang yang kelewatan terlihat di tebing sungai yang tidak berapa deras airnya. Mereka mencedok air dengan baldi lalu dipikul dengan perlahan-lahan ke tebing. Beberapa orang pelajar yang kelihatan tidak upaya menunggu rakannya membawa air lalu menggunakan air itu untuk berwudhu. Ada yang bertongkat, berkerusi roda, dan ada juga yang duduk di kaki tangga. Selepas siap berwudhu mereka terus ke ruang solat bersama para pelajar yang lain. Umpama kelibat ratusan semut yang menjumpai sebutir gula, begitulah kelihatannya para pelajar ini berkumpul di ruang solat untuk menunaikan solat Zohor. Tidak ada yang sengaja memperlambatkan langkah. Hanya upaya atau tidak sahaja yang menentukan siapa yang terlebih dahulu sampai ke saf hadapan. Kelihatan seorang tua, berjambang hitam dan terurus rapi duduk di sebuah kerusi roda solat bersama-sama pelajar ini. Kerusinya ditolak oleh seorang anak muda perempuan dari arah luar. Sampai di tepi kaki lima ruang solat, seolah memahami ada pelajar lelaki lain yang menyambung menolaknya ke ruang solat tadi.

“Allahuakbar”, takbir dilaungkan oleh sang imam solat. Beserta dengan itu, bergemalah seluruh ruang solat dengan takbir para jemaah dan setelah itu ruang solat kembali hening, senyap dengan kekhusyukan para tetamuNya.

“[61.4] Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berperang di jalan-Nya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kokoh”.

Surah As-Shaff kedengaran bergema di langit. Tengahari di Maktab As-Syakirin hening seperti tiada orang. Hanya bunyi air sungai dan burung-burung berkicauan kedengaran di sana.

“Assallamualaikumwarahmatullah, assallamualaikumwarahmatullah”. Salam terakhir selepas solat Zohor itu diakhiri dengan tazkirah hadis dari seorang pelajar. Para pelajar lain tekun mendengar dan mencatat beberapa isi penting yang dihuraikan oleh si pelajar yang memberi tazkirah. Selesai solat, masing-masing beredar menjalankan kerja masing-masing. Ada juga yang terus tinggal di dalam ruang solat. Ada yang bersilaturrahim, menghabiskan hafalan, tadarus Al-Quran, tertidur di penjuru ruang solat. Namun kebanyakannya beredar ke bilik masing-masing. Ada juga beberapa kumpulan pelajar yang berjalan ke pustaka maktab.

Si tua itu menolak kerusi rodanya dengan tangannya sendiri menuju ke pintu ruang solat. Tangannya menggigil berusaha sepenuh hati untuk menolak ke sana namun lemah dan payah.

“Ji, biar saya yang bantu”. Seorang anak muda memaut pemegang di belakang kerusi rodanya dan menolak perlahan ke pintu ruang solat.

“Terima kasih nak”, si tua membalas dengan senyuman yang bening dan tenang. Di ruang pintu solat, si tua dibiarkan dan pelajar itu berlalu pergi ke biliknya. Tidak berapa lama kemudian, belakang si tua itu ada tangan yang menyambung menolak kerusi rodanya.

“Sepertinya ada urusan rumit setelah solat tadi?”, kata si tua itu.

“Maaf ya bi, ada pelajar ingin bertemu Laila setelah solat tadi. Sepertinya ada urusan mustahak”. perempuan itu menjawab dengan nada lembut dan kesal. Si tua tersenyum terus.

“Lah, abi senyum sahaja kenapa?”,si gadis menampakkan riak wajah tanda tanya.

“Abi cuma fikir lalu bersyukur, maktab ini sudahlah indah. Tapi diperindahkan lagi dengan seorang puteri yang dapat membantu abi”, jelas si tua itu.

“Lah, ke situ pula, urusan kecil-kecil saja lah bi, tapi urusannya sulit bagi abi”.

“Urusan sulit? Urusan apa?”, si tua itu tampak bingung.

“Yang sulitnya urusan itu tak dapat diberitahu abi, kerana urusan itu urusan kewanitaan”, jelas si Laila, anak si tua itu.

“Owhh”, angguk si tua tanda faham. Laila terus menolak abinya ke luar ruang solat, melewati taman di maktab As-Syakirin. Sesekali pelajar menunduk memberi ucapan salam pada si tua ini. Si tua ini tetap tidak lekang memberi senyuman yang bening pada setiap pelajar yang dia temui.

“Laila, lekas bawa abi ke pustaka. Abi mahu ke sana. Nanti, tolong ambil abi ke ruang solat sebelum hampir Asar ya”.

“Baik bi”, Laila menolak si tua itu dengan sedikit laju. Dia tidak akan risau di sana kerana pasti ramai pelajar yang berada di pustaka yang dapat membantu abinya. Walaupun ramai pelajar di maktab itu, tetaplah Laila yang paling si tua itu senang untuk menolong menolak kerusi rodanya itu. Laila anak pengelola maktab As-Syakirin merupakan satu-satunya puteri si tua. Si tua ini dahulu pernah mempunyai putera-putera yang lain namun kisah putera-puteranya masih tidak jelas. Ada berita mengatakan mereka semuanya sudah mati kerana peperangan. Ada juga kisah yang mengatakan mereka hidup sebagai pelarian di negara lain. Namun, cerita hanyalah cerita. Si tua ini ternyata tidak pernah menceritakan perihal putera-puteranya kepada sesiapapun. Mungkin ada sebab-sebab yang sulit untuk dijelaskan.

Si tua ini , Jailani Hadi Ayunni. Semua pelajar di maktab As-Syakirin memanggilnya dengan panggilan ‘Ji’. Ramai yang tidak tahu dari mana asalnya Ji, latar belakang keluarganya. Yang mereka tahu dialah yang mengelola maktab ini dan punyai seorang puteri bernama Laila. Isterinya sudah lama meninggal dunia sewaktu melahirkan anak bongsunya. Anak bongsunya juga meninggal dunia kerana tidak cukup bulan. Tinggallah Ji bersama Laila dan ratusan pelajar maktab As-Syakirin. Pelajarnya yang terdiri dari anak pelarian yang tidak punyai ibu-bapa. Kebanyakan datang dari generasi sewaktu dunia melaksanakan dasar pembahagian tanah untuk menubuhkan negara baru. Rakyat-rakyat yang memberontak dengan dasar ini semuanya akan dianggap sebagai pelarian. Pelarian yang kebanyakannya tinggal berkhemah di sempadan negara akan dicerobohi oleh askar, perompak dan lanun. Ramai juga yang mati dibunuh. Namun, kebanyakan anak kecil masih terus hidup. Ramai ibu-bapa yang menjadi pelarian menasihatkan anak mereka supaya cepat meninggalkan khemah sekiranya ada orang asing yang datang menceroboh kawasan khemah mereka. Maka, kebanyakan yang mati dibunuh terdiri dari orang dewasa.

Jailani Hadi Ayunnilah yang bertanggungjawab menyelamatkan mereka. Ratusan anak-kecil ditempatkan di suatu kawasan kaki bukit yang merupakan padang yang luas yang tersembunyi. Lalu terbinalah maktab As-Syakirin. Maktab yang menyembunyikan identiti anak-anak ini supaya diri mereka tidak dituntut oleh pihak berkuasa. Disinilah pusat pengembangan ilmu bagi anak-anak ini sehinggalah mereka dewasa. Malangnya, ilmu yang banyak itu tidak dapat dibawa ke luar. Ini kerana mungkin soal keselamatan para pelajar di sini. Segala manuskrip dan kajian ilmu hanya disimpan di dalam pustaka. Pustaka As-Syabab.

Pustaka As-Syabab. Di dalamnya tersembunyi khazanah-khazanah luar biasa yang tidak diketahui oleh orang luar. 10 tingkat bangunan itu hanya dipenuhi buku-buku, lembaran kulit binatang bertulis dan pelbagai kepingan-kepingan kertas yang banyak serta mesin pencetak. Bangunan ini tidak pernah kosong dihuni pelajar di sini. Terdapat juga kamar-kamar perbincangan yang selalunya penuh ditempah oleh pelajar-pelajar. Penggalian ilmu, percetakan karya baru semuanya adalah yang terhebat pernah berlaku disini. Malangnya isinya belum tentu dapat dibawa keluar. Jikalau pustaka ini terlenyap. Hancurlah pelbagai penemuan bermanfaat menjadi debu yang ditelan masa dan tenaga.

“Abi, Laila tinggalkan abi disini ya, Laila mahu menyelesaikan urusan pelajar perempuan tadi sebentar. Abi ‘berehat’ di sini dahulu ya”.

“Baik, terima kasih”, jawab Jailani dengan senyuman. Memang di pustaka inilah tempat kunjungan yang kerap untuk beliau. Umpama tempat istirehat baginya. Dengan tekunnya pelajar disini menimba dan menggali ilmu, begitu jugalah tekunnya dia mendalami dan mengelola bahan di dalam pustaka ini. Dialah pengelola maktab, dia jugalah pustakawan di sini. Di maktab ini, tiada batasan pekerjaan yang harus ada pada setiap penghuninya. Seorang tukang kebun di maktab, juga seorang pelajar, juga seorang guru di maktab ini. Tukang masak disini juga aktif menjadi guru di maktab mengendalikan kelas hari minggu, juga seorang pelajar di maktab ini. Bahkan seorang pengelola maktab ini, tidak terasa asing bagi dirinya untuk duduk menjadi seorang pustakawan di pustaka As-Syabab ini. Baginya dia tetap terus berpuas hati dengan amal yang dapat diupayakan, biarpun kudratnya tidak banyak.

Jailani memasuki suatu bilik pustakawan. Dia mengambil sebuah buku kecil di selitkan antara buku-buku yang besar sehasta lengan itu. Agak berhabuk, jailani menyapu kulit buku dengan tangannya. Lalu meniup setelah itu. Habuk buku yang terlepas masuk kedalam rongga hidung dan mulutnya membuatkan dia terbatuk-batuk sebentar. Matanya berair, dia menyapu air di mata dengan baju lengannya. Kulit buku itu dibuka dengan baik, lalu dibacakan tajuk buku itu dengan nada kuat, “konspirasi menjatuhkan dan psikologi untuk menghadapinya”. Isi kandungan buku itu ditatap dengan teliti. Lalu, Jailani memulakan bacaannya. Dia memulakan bacaanya di meja kayu yang bulat di kaunter pustaka itu. Keberadaan pelajar yang ramai itu tidak dipedulikan olehnya lagi. Dia kembali lagi dengan tabiatnya. Kembali tekun meneliti buku itu sehingga Asar.

.....bersambung

No comments:

Post a Comment