Friday, May 7, 2010

Cersapen 4

Panas terik Zohor memancar di gurun pasir Ya’kus. Dengan beberapa unta dan keyran liar berkelompok terdampar di sekeliling oasis (lopak air di padang pasir). Aku ingin mengambil air tetapi takut akan keberadaan mereka. Lalu, aku campak satu batu kepada kelompok itu. Sengaja aku membaling tidak mengenai mana-manapun haiwan itu dengan niat hanya untuk menghalau mereka. Kelihatan binatang-binatang itu lari bertempiaran menjauhi oasis itu. Aku terus menghampiri dan dengan pantas menceduk air dengan bekas air sebelum mereka datang kembali dan meluru kepadaku. Anggapanku salah. Haiwan-haiwan ini membiarkan aku buat seketika memberi peluang kepadaku menceduk air. Lalu setelah beberapa langkah aku menjauhi oasis itu, mereka datang kembali berjemur disekeliling oasis itu.

Aku meneruskan lagi perjalanan ini. Kampung Zubassar. Perjalanan yang laluannya harus merentasi gurun pasir Ya’kus ini harus aku tempuh. Matahari yang berada tegak di atas kepala dengan kepulan awan yang kecil-kecil, kepanasan ini sangat memeritkan. Sudah beberapa kali aku meneguk air untuk membasahi tekak. Tegukan yang sedikit dan kerap itu aku lalukan untuk menjimat air yang aku ambil dari oasis tadi. Penat. Perjalanan amat menyukarkan. Aku terpaksa berjalan diatas pepasir yang halus yang menenggelamkan kakiku. Terasa mahu sahaja aku menanggalkan kasut tebal ini. Namun, sudah tentu nanti kakiku akan habis melecur kerana kepansan pasir di gurun ini. Saat situasi bermasalah yang datang tidak memberikan kita banyak pilihan, apakah yang kita harus lakukan? Hendak mengeluh, merungut atau mencarut justeru tidak ada yang akan mendengar. Dan ianya juga memenatkan. Huh, berdiam lebih baik. Aku cuba menikmati permasalahan ini dengan sabar. Mudahan jalan keluar di padang pasir ini akan terasa lebih nikmat untukku nanti.

Kelihatannya pasir di gurun ini sangat panas! ketika air peluhku menitis membasahi pasir di gurun, ada wap yang keluar di tempat air itu menitis. Mujur aku memakai kasut yang tebal. Tak terasa sedikitpun kepanasan di kakiku ini.

Semakin lama, Matahari mula bersedia untuk terbenam. Di ufuk barat, di sebalik gunung-gunung dan bukit , sinarnya semakin kemerahan. Angin mula meniup dan tak terasa nikmat malahan sangat pedih. Angin membawakan bahang kepanasan yang perit. Aku tak mampu menghalangnya. Apa yang aku harap untuk keluar dari gurun ini secepat mungkin. Aku mulai mengidamkan sesuatu yang lazat, yang enak-enak sebagai penghargaan jika aku sampai ke kampung itu nanti. Cukuplah hanya air soda dan tembikai susu sejuk. Ohh, membayangkan hal yang tidak ada, ternyata membuatkan perjalanan ini lebih memeritkan.

Jauh dari pandangan, kelihatan fatamorgana di hujung padang pasir. Tiba-tiba, angin yang bertiup lembut tadi bertambah kuat sehingga mebawa sekali pasir berterbangan. Terdengar siulan angin bertiup, semakin lama ianya menjadi semakin kuat. Ini amaran bahawa ribut pasir akan tiba. Aku bersiap-siap untuk menghadapinya. Menghadapi ribut pasir adalah satu kemahiran wajib perlu ada pada sesiapa pun yang ingin melintasi gurun pasir. Ribut pasir jarang berlaku di gurun pasir Ya’kus ini. Aku mengeluarkan selimut dan kain tebal lalu membaluti diriku termasuk muka dan mata. Lalu aku duduk bersila diam. Aku harus mendiamkan diri sebegitu sehinggalah ribut reda. Perjalanan tak sepatutnya diteruskan kerana ribut mungkin saja mampu menerbangkan barang yang aku bawa. Mendiamkan diri seperti itu adalah cara terbaik yang dipraktikkan turun-temurun untuk menghadapi ribut pasir.

Setelah ribut pasir itu reda, aku meneruskan perjalanan kembali. Malam sudah hampir tiba. Aku memanjat bukit pasir untuk melihat betapa jauh lagi harus aku berjalan. Kelihatan lampu bercahaya seperti garisan berada di garisan horizon gurun pasir ini. Perjalananku tidak berapa jauh lagi. Aku yakin disanalah Pekan yang akan kau tempuh untuk sampai ke Kampung Zubassar. Badan ku penat dan letih. Aku meletakkan beg yang aku bawa dan terus terbaring kepenatan di atas bukit. Melihat bintang mula menampakkan dirinya. Malam. Engkau datang setiap hari kepadaku. Tetapi malam ini, engkau datang dengan sangat bererti kepada ku. Kau menyejukkan aku dikala aku kehangatan melintasi siang. Walaupun kau pengganti siang , siang jugalah yang tetap akan menggantikan kamu kembali. Biarpun kau cantik dihiasi bintang dan bulan, siang juga cantik dengan Matahari dan awan. Kau ini lembut, menyanyikan irama untuk aku rehat pada waktu kamu tiba. Siang pula garang, menyuruhku bekerja keras di waktu ia tiba. Namun, semua itu tidak peduli. Saat waktu bila dan siapa pun tiba meghampiriku, aku hanya menerima kehadiranmu dengan gembira. Kerana semuanya melayaniku dengan baik. Semuanya menghampiriku dengan tenang dan tanpa rasa benci. Betapa banyak diri kamu malam dan siang, aku biarkan kau menghampiriku dan meninggalkan aku begitu sahaja tanpa aku peduli. Tetapi terkadang aku juga menunggu-nunggu kehadiran kamu. Terkadang aku merisik, bilakah siang akan datang bila malam menjelma di mataku. Terkadang aku merisik bilakah malam akan menjelma bila siang datang padaku. Apakah kamu mencemburui antara satu sama lain? Pernahkah kamu berselisih dan membenci antara satu sama lain? Tentu sekali aku harapkan jangan. Nanti ketika kamu berperasaan buruk seperti manusia ini, tentu saja hidup ini jadi haru biru. Apakah akan jadi jikalau siang datang lebih dari sekali atau malam datang lebih dari sekali. Jangan malam! Jangan siang! Jangan meniru keperibadian manusia yang penuh dengan rasa ego, cemburu dan benci-membenci. Namun, aku tahu kamu ini jujur. Kamu tidak peduli akan semua ini dan jujur menjalankan kewajipanmu tanpa banyak soal. Aku harap akan jadi sepertimu malam. Oh siang, aku juga harap akan jadi seperti kamu....

Aku terus terlena di malam sejuk yang begitu merehatkan untukku.

***

“Isk, isk, isk. Sakit, sakit!”, seorang gadis menangis dengan dikelilingi beberapa orang rakannya. Dia menahan perut dengan kedua belah tangannya. Di tekan-tekan perutnya sambil meraung-raung kesakitan. Rakan-rakan yang lain cuba menenangkannya. Laila terkejut dengan keadaan gadis itu. Seketika tadi dia melihat si gadis mengadu perutnya sakit sewaktu selepas solat Zohor tetapi keadaannya kini bertambah parah.

“Sudah disapu ubatnya ?”, tanya Laila pada seorang rakan gadis itu.

“Sudah, kakak. Sakitnya makin kuat”, jelas rakannya itu. Mukanya runsing dan panik melihat keadaan rakannya. Tidak pernah dia melihat keadaan seperti itu selama ini.

“Darahnya masih keluar ?”

“Ada lagi, kakak sakit!”, teresak-esak gadis itu meraung cuba untuk melepaskan rasa sakitnya sekuat hati.

“Sabar ya, kalau makin parah, nanti kami bawakan kamu ke hospital. Mungkin pertama kali seperti ini, lama-lama nanti tidak akan sakit lagi”.

Di dalam kesakitan, gadis itu cuba menganggukkan kepala tanda faham.

“Ummi, tolong bawakan air segelas”

Segelas air diberikan pada Laila. Laila berselawat dan membacakan beberapa doa pada gelas itu. Setelah itu diberikan si gadis itu minum. Gadis itu lalu berbaring lesu. Penat kerana menahan kesakitan. Semua rakannya simpati akan nasibnya. Yang lain cuba membantu sebaik mungkin. Ada yang cuba mengurut-urut kaki serta bahunya mudah-mudahan si gadis itu selesa. Ada juga yang menepuk-nepuk bahu supaya dia bersabar. Tidak beberapa lama kemudian, tangisan mula hilang. Gadis itu tidur kepenatan. Meringkuk sambil memegang perut.

“Seperti ini teruknya keadaan Ani kak? Dahulu saya juga mengalami sakit sewaktu pertama kali datang haid. Saya fikir sayalah yang paling teruk di dunia ini menerima kesakitan seperti itu. PAdahal, ada lagi yang mengalami kesakitan lebih teruk”, Ummi yang kehairanan mula bertanya.

“Ianya berbeza dik. Setiap orang akan mengalami kesakitan yang berbeza. Ada juga yang pertama kali datang haid tanpa rasa sakit. Ada juga yang pada waktu mula, darahnya keluar banyak. Mungkin kerana pertama kali, Ani jadi cemas dan sakitnya jadi bertambah. Kalau keadaannya baik esok hari, tidak perlu bawa dia ke hospital”. Laila menjelaskan kepada Ummi dan rakannya yang lain.

“Kedatangan haid adalah antara proses pengembangan seksual wanita. Sesetangahnya akan merasai sakit di bahagian bawah abdomen sewaktu kedatangan haid. Biasanya ia normal tetapi sekiranya sakitnya berpanjangan dan berlarutan pada kedatangan haid yang seterusnya, ianya perlu dirujuk di hospital”, jelas Laila pada Ummi.

Laila meminta izin pada pelajar wanita yang lain. DIa berjalan ke pustaka untuk menjemput abinya. Sewaktu masuk ke pustaka kelihatan abinya sudah tidur kepenatan di atas meja sambil buku yang dibaca abinya terletak bersebelahan. Laila menggelengkan kepala. Lalu dia mmengejutkan abinya, “Bi, sudah mahu Asar”. Laila menggoyangkan badan Jailani dengan perlahan.

“Owh, abi tertidur”, terjaga Jailani sambil menggosokkan matanya. Dia cepat mengemaskan buku di meja itu dan dimasukkan buku tulisnya di dalam poket bajunya. Buku yang dibaca tadi diletakkan di rak yang sama buku itu di ambil. Setelah itu Laila menolak Jailani ke ruang solat. Kelihatan pelajar yang lain sudah bersedia di saff masing-masing. Jailani terlihat sebaldi air diletakkan di tepi ruang solat. Dengan pantas dia berwuduk dan hadir ke ruang solat.

Waktu Asar itu, hujan turun dengan lebat. Para pelajar lain keberatan untuk tinggalkan ruang solat selepas solat. Waktu selepas solat itu diambil oleh Jailani untuk bersilaturrahim dengan pelajar. Kelihatan sekelompok pelajar mengerumuni Jailani yang duduk di kerusi roda. Jailani menyuruh seorang pelajar untuk mengangkatnya duduk dilantai ruang solat. Pelbagai perkara yang dibualkan oleh mereka. Tentang pelajaran, masalah kediaman, kesihatan, dan isu-isu semasa yang lain. Sesekali terdengar gelak tawa Jailani dan pelajar maktab itu bergurau dan bergembira. Mereka bahagia tinggal di sana. Sepertinya sebuah keluarga yang besar, mereka menyintai antara satu sama lain. Maktab As-syakirin dibahasi hujan rahmat. Menyergarkan bunga-bunga ditaman. Menghidupkan tanaman diladang. Membersihkan saliran dan lantai di kandang binatang. Menyejukkan hawa di sekitarnya. Memberi kesegaran pada penghidupnya. HUjan berhenti tika senja tiba. Bauan bunga mewangi ditaman menyegarkan sekitar maktab. Seolah bersyukur dengan kehadiran hujan yang sebentar itu.

... bersambung.

1 comment:

  1. Bila nak sambung cerita lagi tentang mujahid sesat ni. sambungla

    ReplyDelete