Sunday, May 16, 2010

cersapen 5 : pewaris As-Syakirin

Allahuakbar! Kedengaran takbir bergema di langit. Kemerah-merahan fajar sadiq mewarnai langit di gurun Ya’kus diiramakan dengan bunyi takbir solat Subuh dari pelbagai arah masjid. Ada yang cepat dan ada yang lambat. Aku bangun dengan keberatan. Rasanya seperti tidak cukup tidur. Aku menggosok-gosokkan mata. Mengambil bekas air dan meminum air beberapa teguk. Lalu aku tidur kembali. Badan aku terasa kepanasan. Aku tidak mengerti apa makna bunyi-bunyian pagi tadi. Seperti satu budaya baru bagi aku. Selalunya pagi adalah waktu orang-orang lena. Dinginnya pagi adalah waktu sesuai untuk menyelubungi diri dengan selimut. Aku tidak hiraukan semua itu. Mungkin ianya satu budaya cara hidup baru. Mungkin itu satu ritual menaikkan semangat untuk bekerja pagi. Sudahlah, satu masa nanti aku akan tahu. Tibanya nanti aku di Kampung Zubassar aku akan tanyakan pada orang disitu. Perihal suara bergema berbalas-balas di pagi itu. Aku kembali tidur menyelimuti diri dengan kedinginan pagi yang belum nampak sinar itu.

“Bangun! bangun!”. Terdengar suara lelaki mengarah-arahkan aku. Mengejutkan aku dari tidur dengan menyepak-nyepak kakiku dengan perlahan-lahan. Aku bangun dari tidur. Mengesat-ngesat mata dengan jari.

“Mengapa kamu tidur di sini?”.

“Owh, saya tertidur kepenatan. Saya dalam perjalanan ke Kg Zubassar”, kataku padahal aku belum lagi membukakan mata untuk melihat siapakah yang bertanya pada ku.

“Kampung Zubassar?. Ianya jauh lagi dari sini.”

“Tapi malam tadi saya sudah melihat lampu terang benderang di hujung sana. Seperti ada penempatan di sana.”

“Di sana kamu melihat cahaya. Memang di sanalah Kampung Zubassar. Belum tentu kamu sudah melihat cahaya yang kamu sangka ianya dekat ianya benar-benar dekat dengan kamu. Sudahlah, mari aku tumpangi engkau. Takut kamu akan mati di gurun ini keseorangan diri sebelum sempat sampai di sana dan menunaikan apa yang kamu hajati”, lelaki itu menarik tanganku untuk bangun. Lalu diangkatnya aku ke atas kudanya sambil dia duduk di hadapanku. Sepertinya tenaga lelaki ini sangat kuat. Tali kuda disentap dan kuda dipacu laju berlari memecut meninggalkan pasir-pasir gurun berterbangan.

Aku yang dari tadi masih belum dapat membukakan mata. Mata aku kurasakan sakit. Dan seperti ada benda yang melekit yang menyekatkan aku untuk membukakan mata. Aku mencuba menggosoknya berkali-kali. Terasa seperti bebola mata ini mahu sahaja ditanggalkan kerana tidak tahan dengan sakit ini.

“Saudaraku, kenapa dengan matamu?”

“Aku tidak tahu, selepas aku terjaga pagi tadi ianya masih baik, selepas itu aku tidur kembali dan bila aku bangun kembali, mata aku jadi sakit.”

“Bersabarlah, sampai di kampung nanti kita akan carikan doktor untuk mengubat”.

Aku mengangguk tanda setuju. Aku memegang pinggang lelaki itu dengan kuat. Kuda meluru lebih laju. Sayang aku tidak dapat melihat lelaki yang baik ini. Aku menahan sakit dengan agak lama. Membongkokkan diri dibelakang bahu lelaki ini. Air mata meleleh-leleh keluar dari mataku. Sakit! Terasa ingin ku cabut mata ini untuk biarkan sakit ini hilang. Sampai bila aku harus menahan? Aku hanya terus bertahan. Kampung Zubassar masih jauh lagi. Baru aku tahu betapa luasnya gurun ini. Betapa datarnya permukaan tanah sehingga aku dapat melihat Kampung Zubassar dari jarak yang terlalu jauh. Aku tertidur di waktu aku menahan sakit itu. Wajahku aku letakkan di belakang lelaki itu. Kuda meluru laju. Seperti tidak tahu penat. Kakinya biarpun berhentak kuat di tanah, aku tidak rasakan hentakan kakinya mengangguku. Mungkin kerana pasir gurun membuat tanah jadi lembut untuk dipijak. Aku tidak dapat melihat. Hanya mendegar dan merasakan apa yang dapat aku rasa. Rasa seperti ada seorang lelaki yang kuat tenaganya yang menolongku dengan seekor kuda yang kuat. Rasa seperti gurun ini tidak ada penghujungnya. Rasa seperti tidak mahu lagi untuk memiliki mata kerana tidak tahan untuk menahan sakitnya. Namun, rasa seperti aku ini tidak puas melihat dunia. Manusia kan tak pernah kenal erti cukup. Tak pernah mengenal erti puas. Tak pernah tidak ada rasa menginginkan sesuatu.

Aku hanya mahu memastikan mata aku akan cepat diubati. Dan aku dapat melihat semula. Aku akan dapat melihat rupanya kampung Zubassar. Dapat melihat kemanakah datangnya suara bergema di pagi tadi. Dapat melihat perihal lelaki dan kuda yang menolong aku keluar dari gurun ini. Dapat mencari apa yang aku mahu carikan selama ini. Dan akhirnya aku dapat menyelesaikan segala persoalan dan tugasan dan dapat menyelamatkan negeri Betlehem aku.

***

Laila bangun di malam yang akhir dikala pagi menunggu masa untuk hadir. Perlahan-lahan dia menyarungkan seliparnya dan terus ke tandas. Setelah menyucikan diri, dia berwudhu. Air dibukanya perlahan, wuduknya sesempurna hingga air sedikit pun tidak meleleh keluar dari saliran air wuduk disalurkan kelongkang. Setelah berwudu, dia teringat yang dia belum memberus gigi. Biarpun sebelum tidur tadi dia sudah memberus gigi, tapi merasakan tidak nyaman jika bangun itu tidak dipersiapkan dengan memberus gigi. Telatahnya teratur. Terkadang seperti manja. Dengan perlahan di memicit ubat gigi itu dari hujung hingga ke mulut penutupnya. Ubat giginya sudah ingin habis. Dia memicit-micit berulang kali dan menggulung hujungnya cuba menghabiskan sisa-sia ubat gigi yang ada. “Tidak elok kalau membazir”, ucapnya seorang diri. Lalu dimasukkan ubat gigi itu ke dalam bakul sampah tandas.

Setelah memberus gigi, perlahan mengenakan pakaian solat. Dia membentangkan sejadahnya lalu bertahajud. Bacaan hafalan sebelum tidur tadi diuji di dalam solatnya. Berkerut-kerut dahinya mengingatkan kembali surah Abasa yang dihafalnya tadi. Sehingga ketika ayat-ayat akhir surah itu, dia terhenti. Begitu lama. Lalu dia menitiskan air mata. Dalam suara tersedu-sedan dia cuba menghabiskan bacaan surah itu. Lalu dia rukuk dan sujud menghabiskan solatnya tadi. Di akhir sujud, dia berhenti dengan agak lama. Terus menangis dan mengalirkan air mata dan kali ini lebih dahsyat. Lalu dia menghabiskan sisa terakhir sedu sedannya. Dan berdoa dengan senyap. Hanya mulut terkumat-kamit sambil mata terpejam rapat. Begitupun kadang kala muncul senyuman diriak wajahnya. Seketika kembali sayu dan muram.

“Allahuakbar, Allahuakbar!”Azan berkumandang di ruang solat. Laila, bergegas ke kamar abinya. Kelihatan abi sudah tiada. Di ke bilik mandi di dalam kamar abinya itu. Juga menghilang. Terus dia menuju ke ruang tamu, ke bilik mandi utama , ke dapur. Juga tiada. Rasa resah mula bercampur-baur dalam hatinya. Dia memanggil nama Jailani, si abi yang sangat dicintainya itu. “Abi, abi”. Merata dia mencari di sekitar rumah, namun tiada. Dengan segera dia menuju ke ruang solat. Para pelajar lain sudah bersiap untuk menunaikan solat. Dia meninjau ke ruang solat lelaki kalau-kalau abinya ada. Ternyata abinya sudah bersedia di saf untuk solat. Lega hatinya melihat abinya dari belakang. Lalu dia terus ke belakang dan bersedia untuk solat.

Setelah selesai solat, dia terus menunggu abinya di luar. Tetapi abinya terus duduk di kerusi. Acara setelah solat itu belum habis. Setelah solat, para pelajar lain masih duduk di saf-saf mereka. Rupanya ada kuliah Subuh selepas solat yang diisi oleh salah seorang pelajar. Laila geram lalu kembali duduk ke tempatnya. Mukanya muram. Bisa sahaja semua yang didengar sewaktu kuliah tadi hilang entah ke mana. Dia hanya menyoal di dalam hatinya tentang abinya. Ingin sahaja dia marahi abinya itu. Dia begitu resah dan tidak senang duduk di situ. Lalu dia keluar ke bilik air. Terlupa untuk megambil wudu, dia terus masuk kedalam ruang solat. Dia hanya ingin menunggu bilakah kuliah akan habis.

Kuliah hadis selepas Subuh diakhiri dengan doa penutup dan selawat. Para pelajar bersiap untuk meneruskan aktiviti pagi masing-masing. Seorang pelajar yang tiba diluar ruang solat menjerit kepada rakannya, “mari kita main bola!”. Kelihatan seorang pelajar yang menyorong Jailani ke ruang solat berkata hampir ke telinga Jailani. “ke padang bola kita Ji, nanti Ji boleh jadi pengadil.” Jailani dengan tersenyum membalas “Jadi pengadil aja, apa tidak ada kumpulan yang mahu ambil Ji jadi striker?”. Mereka berdua tertawa dengan jenaka itu.

Di ruang solat, Laila menunggu dengan wajah muram. Dia mahu meninggikan suara namun apabila melihat wajah abinya terus rasa geramnya hilang dan suaranya seprti dijinakkan dan keluarlah kata-kata lembut dan manja pada abinya,

“Abi kemana saja malam tadi? Pagi tadi puas Laila cari abi di rumah abi sudah tiada? Di belakang tadi Laila menunggu sahaja abi. Abi kok tinggalkan Laila biii.”

“Abi tidak kemanalah Laila, malam tadi Abi seperti tak lena tidur. Abi keruang tamu menelefon seorang pelajar membawa abi bersiar-siar di luar mengambil angin malam. Abi melihat ramai lagi pelajar yang tidak tidur malam itu. Di ruang solat abi membaca hafalan Quran lalu tertidur. Ada pelajar yang mengejutkan abi ketika sebelum Subuh tadi”.

Laila bermuka resah dan muram. Merajuk.

“Sudahlah Laila, kenapa Laila begitu resah ini? bukan sekali Abi keluar seperti malam tadi. Malahan malam terakhir Ramadhan hampir sahaja abi tidak tidur di rumah.”

“Laila takut apa-apa terjadi pada abi.”

Jailani tersenyum menggelengkan kepala. Di berhentikan kerusi rodanya yang ditolak tidak berhenti oleh Laila dari tadi dengan tangannya. Laila berhenti menolak. Lalu pergi kehadapan Jailani. Dia melutut di hadapan Jailani. Jailani merenung Laila. Matanya yang redup itu, sesiapa sahaja akan tenang melihatnya lebih-lebih lagi jika dekat. Lebih-lebih lagi dirasakan oleh Laila kerana itu adalah si abinya.

“Laila biarpun abi tiada, pasti ada yang menjaga Laila, melihat Laila, memastikan Laila sentiasa dalam keadaan baik. Asalkan Laila menjaganya dalam keadaan yang baik. Seperti Laila menjaga abi. Malah pastikan lebih baik lagi”.

“siapa?” pantas Laila menyoal dengan bingung,

“Allah” begitu Jailani menunjukkan jari telunjuknya pada Laila. Muka Laila berubah dari muram kembali tersenyum lalu Laila kembali ke belakang dan menolak kembali si abinya.

“Mari bi, kita sarapan. Nanti Laila bawakan abi ke padang melihat mereka main bola.”

Jailani tersenyum. Dia diam dan hanya mengangguk-angguk setuju.

“Abi, Laila sudah tamat hafal surah Abasa”, ucap Laila gembira.

“Iya?! Bagus selepas ini nanti teruskan hafalan.”

Jailani tersenyum dan meghela nafas. Baru dia tahu mengapa si Laila begitu resah malam tadi. Pengertian surah Abasa sangat mendalam di dalam benak fikiran gadis itu. Mungkin sampai terngiang-nigang di telinganya. Jailani hanya mampu tersenyum. Tersenyum melihat anaknya begitu cepat membesar di pangkuannya. Merasakan umurnya juga sudah cukup untuk melepaskan Laila menjadi sendiri.

Kabus pagi masih menyulubungi pagi di maktab As-Syakirin. Laila dan Jailani hilang di balik kabus pagi berjalan ke sekitar maktab As-Syakirin itu.

...bersambung

No comments:

Post a Comment